Keluaran dan sambutan Desolasi

Promosi

Treler rasmi filem ini telah dimuatnaik di YouTube rasmi Syafiq Yusof pada pada 10 Oktober 2016.[26] Enam hari sebelum Desolasi ditayangkan, teaser 30 saat bagi treler filem ini telah dimuatnaik di YouTube pada 2 Disember 2016 dan telah meraih 15,918 juta tontonan,[27] diikuti oleh Di Belakang Tabir filem ini disiarkan di semua stesen televisyen seluruh negara sebelum tayangan perdananya.[28]

Bagi mempromosikan Desolasi, pelakon utamanya Syamsul Yusof dan Bella Dally dijemput sebagai tetamu jemputan rancangan meleTOP yang dihoskan oleh Neelofa dan Nabil Ahmad pada 6 Disember 2016.

Kutipan

Desolasi telah mengumpul RM1.08 juta dalam 12 hari pertama tayangan. Pada hari terakhir tayangannya, filem ini telah mencatat jualan tiket sebanyak RM2.5 juta.[29] Filem ini juga mengikut jejak langkah filem Munafik menembusi pasaran Indonesia.[30]

Poster

Beberapa bulan sebelum Desolasi ditayangkan, poster filem ini dikatakan mempunyai persamaan dengan filem Inferno, lakonan Tom Hanks.[31] Walaupun dari segi warna latar dan premis filem berbeza, kedua-dua poster menunjukkan dua pelakon utama sedang berlari ke arah sama.[31] Dalam temuramah dengan Harian Metro, Syafiq berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu mengenai persamaan yang wujud dalam poster filem Desolasi dan Inferno.[31] Katanya, sebaik saja poster itu mula tersebar, dia mendapat maklum balas bercampur baur daripada peminat dan netizen.[31] Syafiq berkata poster Desolasi telah direkabentuk oleh Kukubesi yang turut merekabentuk poster filem Mat Moto dan siap sepenuhnya pada Ogos 2016 dan ketika itu poster filem Inferno belum lagi muncul di pasaran filem tempatan.[31] Menurutnya, poster yang tersebar itu bukan poster utama. Poster utama hanya paparkan watak utama berseorangan sahaja manakala poster yang tersebar itu adalah poster kedua.[31]

Ulasan kritis

Desolasi menerima ulasan positif daripada pengkritik filem. Angelin Yeoh dari Star2 yang memberikan taraf 3 daripada 5 bintang daripada 6/10 ulasan, menyifatkan Desolasi dipenuhi dengan kesan visual yang sukar dibayangkan, letupan tidak berpenghujung dan tangisan sayu.[32] Yeoh juga mentakrifkan Desolasi merupakan kisah bapa dan anak yang menang atas paparan kesan khas yang berlebihan.[32] Hamam Abidin pula mengulas "…pertanyaan itulah yang ditekankan oleh filem ini. Kualiti lakonan Syamsul (Yusof) juga saya kagumi, melihat wajahnya saja saya melihat bahawa Aiman ialah anak yang tak pernah bahagia."[33]